Islamic Calendar

Islamic Clock

Asma Ul'Husna






Kisah Perhimpunan Agung di Hadiratul Quddus






Diriwayatkan setelah semua manusia yang layak memasuki syurga sudah memasuki syurga, pada satu hari yang ditentukan, Allah SWT memerintahkan malaikat Jibrail membawa ahli syurga ke satu perkampungan yang bernama Hadiratul Quddus. Hadiratul Quddus terletak di dalam syurga yang bernama Syurga Khuldi, iaitu suatu alam dan tempat yang cuma diketahui kedudukannya oleh Allah SWT sahaja.

Apabila malaikat Jibrail dan rombongan ahli syurga yang ramai itu sampai di pintu masuk Syurga Khuldi, maka muncullah malaikat yang menjadi pengawal syurga itu, lalu bertanya: "Apakah bicara dan kehendak tuan bersama rombongan manusia yang ramai ini ke perkampungan syurga ini yang tidak pernah dijejaki oleh seorang manusiapun."

Lalu Jibrail menjawab: "Aku diperintahkan oleh Allah SWT, pentadbir seluruh alam untuk menghantar tetamu-tetamuNya dari orang-orang yang bernasib baik bagi menduduki Hadiratul Quddus"

Setelah mendengar kata-kata perintah dari Jibrail, maka malaikat yang mengawal pintu Syurga Khuldi itu dengan segera membuka pintunya dan membenarkan Jibrail dan ke semua tetamu Allah SWT tersebut menuju ke perkampungan syurga Hadiratul Quddus.

Malaikat Jibrail pun masuk ke dalam syurga itu lalu menaiki ke satu puncak mahligai yang tinggi lantas berkata: "Wahai Muhammad, masuklah tuan hamba bersama para nabi, para sahabat dan sekalian manusia yang menjadi calon penghuni syurga ke taman Hadiratul Quddus ini untuk menikmati segala kemewahan yang telah dijanjikan Allah SWT dahulu. Maka masuklah Rasulullah dan sekelian tetamu Allah SWT yang lain ke dalam taman itu lalu menaiki kenderaan khas yang disediakan.

Apabila mereka melalui jalan di dalam taman syurga itu, tiba-tiba berundurlah ke belakang dengan sendirinya segala pohon kayu kecil dan besar yang menghiasi taman itu untuk memberi hormat kepada rombongan tersebut. Sepanjang perjalanan mereka diperlihatkan permandangan taman yang indah lagi mengkagumkan, melalui bangunan serta mahligai yang diperbuat dari emas, perak, batu delima serta lain-lain. Pendek kata, Hadiratul Quddus memiliki mahligai yang bertaburan dalam suasana yang terlalu permai dan amat menyenangkan.

Pada pintu setiap mahligai tersebut sudahpun tertulis nama penghuni yang bakal memilikinya manakala di dalamnya menunggu dengan wajah kerinduan akan para bidadari yang amat jelita, menunggu dengan penuh sabar akan saat pertemuan yang sudah terlalu hampir akan kedatangan suami mereka yang bakal menjadi penghuni dan raja di dalam mahligai tersebut.

Setelah beberapa lama mengelilingi Hadiratul Quddus, malaikat Jibrail lalu membawa ke semua ahli syurga berkenaan berkumpul untuk menghadiri satu upacara perhimpunan agung. Allah SWT memerintahkan malaikat Jibrail untuk membentangkan satu hamparan permaidani, maka duduklah para tetamu Allah SWT itu berehat dengan penuh gembira dan selesa sekali. Seketika kemudian Allah SWT pun memerintah para malaikat: "Berikan makan kepada waliKu". Muncullah para pelayan membawa pelbagai hidangan istimewa. Semakin banyak dimakan, semakin terasa lazat rasanya. Setiap suap tidak sama rasanya. Mereka terus menikmati hidangan makanan dengan sepuas-puasnya. Setelah makan, Allah SWT memerintahkan: "Berikan minum pada hamba-hambaKu". Maka para tetamu Allah SWT tersebut diberi minuman yang rasa airnya bertambah lazat pada setiap teguk.

Setelah para tetamu Allah SWT tersebut menikmati jamuan di hari pertama mereka dikumpulkan beramai-ramai, Allah SWT pun memerintah malaikat Jibrail supaya manghadiahkan kepada mereka pakaian-pakaian syurga. Tubuh badan mereka disaluti dengan pelbagai perhiasan yang amat baik dan terlalu tinggi nilainya samada perhiasan cincin emas yang bertatah batu-batu delima atau berlian yang terlalu ajaib dan menakjubkan. Setiap cincin yang dipakai oleh tetamu Allah SWT itu tersurat kalimah-kalimah tertentu yang memuji kebesaran Allah SWT. Mereka juga dihiasi dengan mahkota syurga yang dihiasi dengan batu-batu permata yang bergemerlapan.

Allah SWT memerintahkan malaikat Jibrail menghantar pula bau-bauan harum untuk para tetamu yang tidak terbilang ramainya itu. Maka muncullah seekor burung yang sangat ajaib rupanya dan terlalu cantik pula warnanya terbang di dalam taman syurga yang permai itu, sambil mengembangkan sayapnya mengelilingi kepala mereka. Maka terpeciklah bau-bauan yang sangat harum hasil dari sayap-sayap burung ajaib tersebut lalu merenjis pada tubuh dan pakaian setiap tetamu Allah SWT yang hadir pada majlis itu. Maka bertambah harum dan bertambah nyamanlah suasana syurga pada masa itu. Alangkah tercengangnya para tetamu Allah SWT itu melihat dan mengalami kejadian ajaib yang ditunjukkan oleh Allah SWT itu, sebagai janji kesenangan dan kebahagian yang bakal dinikmati oleh manusia yang beriman di alam akhirat nanti.

Seketika kemudian secara tiba-tiba muncullah sebuah mimbar yang diperbuat daripada Nur. Malaikat Jibrail mara di tengah manusia yang ramai itu sambil membimbing tangan Nabi Musa AS naik ke atas mimbar tersebut untuk membaca kitab Taurat. Nabi Musa AS pun memperdengarkan bacaan Taurat dengan bacaan yang lembut dan jelas didengar oleh sekelian hadirin. Setelah itu, malaikat Jibrail menjemput pula nabi Isa AS naik ke atas mimbar untuk membaca kitab Injil seperti yang pernah diturunkan ke atas baginda oleh Allah SWT. Setelah nabi Isa AS memperdengarkan bacaannya, tibalah giliran nabi Daud AS pula untuk membaca kitab Zabur. Bagindapun memperdengarkan bacaan kitab Zabur dengan suara yang amat merdu hingga terpegunlah sekelian tetamu Allah SWT pada hari itu. Setelah itu, malaikat Jibrail menjemput Rasulullah SAW naik ke atas mimbar untuk memperdengarkan Al Quran. Rasulullah SAW pun membaca Al Quran dengan suara yang paling merdu dan tidak pernah didengar oleh sebarang manusia sebelum ini.

Setelah selesai pembacaan kitab-kitab suci yang pernah diturunkan oleh Allah SWT pada umat manusia, maka tiba-tiba terdengarlah satu suara paling merdu memenuhi ruang syurga yang terbentang luas itu. Suara itu merupakan firman dari Allah SWT sendiri yang pertama kali didengar oleh sekelian ahli syurga tersebut. "Akulah Tuhanmu telah menepati apa yang Aku janjikan kepadamu, dan kini kamu boleh meminta niscaya aku akan berikan permintaanmu". Jawab ahli syurga: "Kami minta ridhoMu. kami minta ridhoMu." dua tiga kali. Dijawab oleh Allah SWT: "Aku ridho kepadamu bahkan masih ada tambahan lagi daripadaKu, pada hari ini Aku muliakan kamu dengan penghormatan yang terbesar dari semua yang telah kamu terima."

Maka dibukakan hijab sehingga mereka dapat melihat dzat Allah SWT yang Maha Mulia sekehendak Allah SWT, maka segera mereka bersujud kepada Allah SWT sehingga Allah SWT menyuruh mereka: "Angkatlah kepalamu sebab kini bukan masa beribadat."

Maka disitu mereka lupa pada nikmat-nikmat yang sebelumnya dan terasa benar bahawa tidak ada nikmat lebih besar daripada melihat dzat Allah SWT yang Maha Mulia. Kemudian mereka kembali maka semerbak bau harum dari bawah Arasy dari bukit kasturi yang putih dan ditaburkan diatas kepala mereka, diatas ubun-ubun kuda mereka, maka apabila mereka kembali kepada isteri-isterinya terlihat bertambah indah lebih dari semula ketika mereka meninggalkan mereka sehingga isteri-isteri mereka berkata: "Kamu kini lebih elok dari yang biasa."

Wallahu'alam.

Hilir dan Hulu Sungai-sungai di Syurga







Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Pada malam perjalananku ke langit, diperlihatkan kepadaku semua syurga. Maka aku melihat empat macam sungai: Sungai Air, Sungai Susu, Sungai Khamar dan Sungai Madu. Lalu aku bertanya kepada Jibrail: "Dari mana air ini bersumber dan ke mana ia mengalir?"

Jibrail menjawab: "Mengalir ke kolam Al-Kautsar, tetapi aku belum mengetahui dari mana air ini bersumber. Cuba ku tanya dahulu dengan Tuhanmu."

Kemudian datanglah seorang malaikat dan berkata kepadaku: "Hai Muhammad, pejamkanlah matamu!" Tiba-tiba aku berada berdekatan sebuah pohon bersebelahan sebuah Kubah yang terdiri dari Mutiara Putih, pintunya dari yaqut hijau dan kuncinya dari emas merah. Jika dunia dan seisinya diletakkan di atas Kubah ini, akan seperti burung yang hinggap di atas gunung atau seperti telur yang diletak di atas gunung.

Aku melihat sungai-sungai itu megalir dari bawah kubah tersebut. Ketika aku hendak kembali, berkatalah malaikat tersebut menyuruhku memasukinya. Aku bertanya: "Bagaimana aku boleh masuk, sedangkan pintunya terkunci?" Berkatalah malaikat tersebut: "Kuncinya berada di tanganmu, iaitu lafaz Bismillahirrahmanirrahim"

"Maka aku mengucapkan Bismillahirrahmanirrahim. Tiba-tiba terbukalah pintu Kubah itu dan masuklah aku ke dalamnya. Maka aku menyaksikan dari keempat sudutnya mengalirnya keempat-empat sungai itu. Ketika aku hendak pulang, maka malaikat itu menunjukkan aku tulisan Bismillahirrahmanirrahim tertulis di atas sudut-sudut Kubah itu. Aku menyaksikan bahawa Sungai Air bersumber dari Mim lafaz Bismillah, Sungai Susu bersumber dari Ha lafaz Allah, Sungai Khamar bersumber dari Min lafaz Arrahman dan Sungai Madu bersumber dari Mim lafaz Arrahim. Maka tahulah aku bahawa sumber-sumber sungai itu dari lafaz Bismillahirrahmanirrahim"

Kemudian Allah SWT berfirman: "Hai Muhammad! Barangsiapa dari umatmu yang menyebutku dengan nama-nama ini, akan Ku beri minum dari sungai-sungai ini".

Wallahu'alam

Kisah Kenikmatan di dalam Syurga









Sesungguhnya di dalam syurga itu berupa sesuatu yang belum pernah di lihat oleh mata, belum pernah terdengar oleh telinga dan belum pernah terlintas oleh hati manusia. Ahli syurga bagaikan raja bersenang-lenang dengan penuh kenikmatan sedangkan umur mereka seusia dengan putera. Usia mereka kekal selamanya 33 tahun yakni seusia ketika nabi Isa AS di angkat ke langit, manakala tinggi mereka pula setinggi nabi Adam AS yakni setinggi 60 hasta dan dalamnya lintang 7 hasta. Mereka sangat kacak dan suara mereka sangat merdu. Mata mereka seakan bercelak, putih kulitnya, tiada berbulu badannya kecuali di kepala (kerinting rambutnya), alis dan kelopak mata. Sedang janggut, misai, ketiak dan kemaluan licin tidak berbulu. Mereka tidak kencing dan tidak buang air besar, tidak berludah dan tidak berhingus dan peluh mereka berbau kasturi. Bejana mereka dari emas dan perak, sisir rambut mereka dari emas, kayu bakar mereka dari kayu gahru yang harum (kayu kemenyan). Mereka sentiasa merasa aman dari azab. Hati mereka sentiasa bersatu dan tidak pernah berselisih dan benci membenci antara sesama mereka.

Mereka diberi pakaian dari sutera halus yang hijau dan tebal lagi tidak akan reput atau lusuh. Di kepala mereka ada mahkota yang dapat menerangi antara timur dan barat. Mereka juga diberi pakai 70 macam perhiasan yang berubah warnanya setiap jam, berbeza warna dengan perhiasan yang lain, sedang jari-jari mereka ada sepuluh cincin, terukir pada yang;

Salam alaikum bima shobartum (Selamat sejahtera kamu kerana kesabaran kamu)
Ud khuluha bisalamin aminin (Masuklah ke syurga dengan selamat dan aman)
Tilkal janatullati urits tumu ha bima kuntum ta'malun (Itulah syurga yang diwariskan kepadamu kerana amal perbuatanmu)
Rufi'at ankumul ahzana wal humum (Telah dihindarkan dari kamu semua risau dan dukacita)
Albasakum alhuli wal hulal (Kami berimu pakaian dan perhiasan)
Zawwa jakum ul hurul iin (Kami kahwinkan kamu dengan bidadari)
Walakum fihamatasy tahihil anfusu wa taladzzul a'yun wa antum fiha khalidun (Untuk mu dalam syurga segala keinginan dan menyenangkan pandangan matamu)
Rafaq tumunnabiyina wassiddiqin (Kamu telah berkumpul dengan para Nabi dan Siddiqin)
Shirtum syababa laa tahromun (Kamu menjadi muda dan tidak tua selamanya)
Sakantum fi jiwari man laa yu'dzil jiran (Kamu tinggal dengan tetangga yang tidak mengganggu tetangganya)
Penglihatan mereka dilapangkan sehingga ia memandang yang jauh-jauh seperti memandangnya dari jarak dekat. Penghabisan orang yang masuk syurga dan paling rendah kedudukannya, diberi kerajaan sepanjang penglihatannya, serupa dengan jarak 100 tahun perjalanan. Dan didirikan bagi mereka kubah dari mutiara, zabarjat dan yakut. Lebarnya seperti antara Al-Jabiyah ke Sana'a. Setiap pagi dan petang mereka diberi makan dengan 70,000 piring dari emas, sedangkan warna pada setiap piring tidak sama, sedang rasa makanan pada tiap suapan tidak sama, ditemukan rasa makanan pada suapan yang pertama sama rasanya dengan rasa pada suapan terakhir.

Terdapat 70,000 kampung yang terdiri dari mutiara dan yakut. Setiap kampung ada 70,000 rumah sedangkan rumah-rumah itu tidak satu pecah atau rosak. Sebahagian bangunan di syurga diperbuat dari jalinan bata dari emas dan bata dari perak. Bumi syurga dari perak, dan tanahnya dari misik atau za'faran, debu lantainya dari kasturi yang semerbak harum, dan kerikilnya mutiara serta yakut dan urat-urat pohonnya dari perak, sedang dahannya dari mutiara dan zabarjad, daun dan buahnya berada di bawah, maka seseorang tidak menghadapi kesukaran untuk makan walaupun dalam keadaan berdiri, duduk ataupun baring. 

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Allah SWT telah menciptakan wajah-wajah bidadari terdiri dari 4 warna; putih, hijau, kuning dan merah. Dan tubuhnya diciptakan dari za'faran, misik dan kafur. Dan rambutnya diciptakan dari cengkeh. Bahagian tubuhnya mulai dari kaki sampai lutut tercipta dari za'faran. Dari lutut sampai buah dada tercipta dari anbar. Dari leher sampai kepala tercipta dari kafur. Andaikata meludah ke dunia, maka ludahnya akan menjelma menjadi misik. Pada setiap dadanya tertulis nama suaminya dan nama dari nama-nama Allah SWT. Pada setiap tangannya mengenakan 10 gelang dari emas, memakai cincin sebanyak 10 pada jari-jarinya, memakai 10 perhiasan gelang kaki dari mutiara dan permata."

Sekurang-kurangnya penduduk syurga itu memiliki 80,000 pelayan dan dikahwinkan dengan 72 isteri (bidadari). Mereka diberi kekuatan 100 orang ketika makan, minum dan senggama. Dicipta bidadari secara langsung oleh Allah SWT dan bukan melalui proses kelahiran. Kejelitaan digambarkan seakan-akan bidadari itu permata yakut dan marjan. Yang sentiasa dara lagi sebaya umurnya, cantik, manja, rindu dan amat mencintai suaminya. Yang suci dari sebarang kotoran, haid, nifas, kencing dan air mani. Sopan menundukkan pandangan, tidak pernah disentuh oleh mana-mana jin atau manusia sebelum mereka. Sangat putih kulitnya. Bermata jeli, anak mata hitam pekat bagaikan mata bayi yang baru dilahirkan, bahkan lebih jernih dan lebih becahaya. Lebar matanya disertai bulu mata bagaikan sayap burung yang sedang terbang. Mempunyai betis yang tembus, yang sangat indah mata melihat sehingga boleh terlihat sumsum betis dari belakang dagingnya. Mempunyai kelembutan seperti lembutnya selaput telur di dalam telur yang melekat di kulit luar. Dikurniakan Allah SWT cahaya pada wajah seperti bulan purnama. Cahaya serta bau harum semerbak pada tubuh mereka dapat memenuhi dunia antara langit dan bumi. Sedangkan tutup kepala bidadari itu lebih baik dari dunia dan seisinya. 

Terdapat kemah-kemah yang mengandungi berpuluh-puluh bilik dari mutiara yang berlubang. Ada bilik yang bagaikan taman yang luas yang dipenuhi pohon-pohon palma dan di kelilingi sungai yang mengalir, yang tepiannya dilitupi oleh bunga mawar, melati dan lain-lain bunga yang tumbuh dari lembah. Ketika angin meniup taman bunga ini, seluruh taman dipenuhi bau harum semerbak. Di dalam bilik ada ruangan luas yang diperbuat dari kayu cendana dan pokok gaharu serta dilapisi dengan segala macam marmar berwarna. Berterbangan burung-burung seperti burung bul-bul, murai atau merpati yang pandai menyanyi. Setiap bilik dihiasi dengan perhiasan dari zamrud, batu merah, batu delima merah jingga, serta emas dan perak. Di dalam bilik yang sebegini indah inilah tempat tinggalnya bidadari itu. Mereka menantikan kedatangan suami mereka dengan menyanyikan lagu-lagu rindu bagaikan orang yang sedang mabuk cinta. Setiap kali mereka menyenandungkan lagu-lagu pujaan yang menyebut-nyebut suami mereka setiap itu pula bangkit nafsu kecemburuan mereka.

Hadis riwayat At-Tarmizi, Rasulullah SAW bersabda: "Di sediakan tempat untuk berkumpulnya para bidadari, dan di sana mereka beryanyi semerdu suara yang belum pernah didengar oleh manusia suara semerdu itu. Kamilah yang kekal dan tak akan rosak (berubah), kamilah selalu senang tak pernah susah, kamilah yang puas rela tak akan marah, sungguh bahagia orang yang untuk kami dan kami untuknya." 

Ketika mereka yakni suami bidadari melintasi kawasan perkemahan di mana para bidadari berkumpul, maka para bidadari akan menyambut kedatangan suami mereka dengan sepenuh jiwa dan raga mereka kepadanya. Para bidadari akan melayan sepenuhnya keinginan suaminya, bahkan menggoda supaya suaminya terus bermesra dengannya. Para bidadari sentiasa inginkan kehidupan di atas tilam-tilam sutera yang lembut, dengan cadar yang berilau-kilauan, sentiasa berpegangan erat tangan suaminya. Hubungan senggama bersama bidadari adalah hubungan kenikmatan tanpa sebarang keletihan, peluh mahupun kotoran berupa air mani. Seorang suami boleh menggauli 100 bidadari dalam sehari.

Bagi mereka yang menduduki syurga 'Adn, mereka akan menduduki istana-istana yang diperbuat daripada mutiara. Di dalam setiap istana terdapat 70 buah rumah dari permata yakut merah. Di dalam setiap rumah terdapat 70 buah bilik dari zamrut hijau. Di dalam setiap bilik terdapat ranjang. Setiap ranjang terdapat 70 permaidani dalam pelbagai warna, dan setiap permaidani terdapat seorang bidadari. Mereka akan diberi hiasan gelang dari emas, berpakaian hijau dari sutera yang bersulam benang emas. 

Ahli syurga akan lupa akan segala kenikmatan yang mereka alami di dalam syurga apabila mereka dihimpunkan dalam satu majlis yang agung. Majlis ini adalah kemuncak bagi segala kenikmatan bagi penduduk syurga kerana di dalam majlis ini, mereka dapat mendengar dengan sendiri kalimat dari Allah SWT, dapat melihat Zat Allah SWT, dapat redha dari Allah SWT dan dapat pengisytiharan yang mereka akan hidup kekal selamanya di dalam syurga oleh Allah SWT.

Wallahu'alam.

Kisah Iblis Laknatullah dengan Ahli Neraka




Dalam sebuah hadith diterangkan bahawa apabila penghuni neraka sudah sampai di neraka, maka di situ disediakan sebuah mimbar dari api, dipakaikan pakaian dari api, bermahkota dari api dan diikat iblis laknatullah itu dengan tali dari api.

Kemudian dikatakan kepada iblis laknatullah: "Wahai iblis, naiklah kamu ke atas mimbar dan bersyarahlah kamu kepada penghuni neraka." Setelah iblis laknatullah menerima arahan maka dia pun naik ke atas mimbar dan berkata: "Wahai para penghuni neraka." Semua orang yang berada dalam neraka mendengar akan ucapannya dan memandang mereka kepada ketua mereka iaitu iblis laknatullah .

Kata iblis laknatullah : "Wahai orang-orang yang kafir dan orang-orang munafiq, sesungguhnya Allah SWT telah menjanjikan kepadamu dengan janji yang benar bahawa kamu semua itu mati dan akan dihalau dan akan dihisab dan akan menjadi dua kumpulan. Satu kumpulan ke syurga dan satu kumpulan ke neraka Sa'iir."

Berkata iblis laknatullah lagi: "Kamu semua menyangka bahawa kamu semua tidak akan meninggalkan dunia bahkan kamu semua menyangka akan tetap berada di dunia. Tidaklah ada bagiku kekuasaan di atasmu melainkan aku hanya mengganggu kamu semua. akhirnya kamu semua mengikuti aku, maka dosanya adalah untuk kamu. Oleh itu janganlah kamu mengumpat aku, mencaci aku, sebaliknya umpatlah dari kamu sendiri, kerana sesungguhnya kamu sendirilah yang lebih berhak mengumpat daripada aku yang mengumpat."

Berkata iblis laknatullah lagi: "Mengapakah kamu tidak mahu menyembah Allah sedangkan dia Allah yang menciptakan segala sesuatu?"

Akhirnya iblis laknatullah berkata: "Hari ini aku tidak dapat menyelamatkan kamu semua dari seksa Allah, dan kamu juga tidak akan dapat menyelamatkan aku. Sesungguhnya pada hari aku telah terlepas dari apa yang telah aku katakan kepada kamu, sesungguhnya aku diusir dan ditolak dari keharibaan Tuhan seru sekalian Alam."

Setelah mereka (ahli neraka) mendengar kata-kata iblis laknatullah itu maka mereka melaknati iblis itu. Setelah itu iblis laknatullah dipukul oleh Malaikat Zabaniah dengan tombak dari api dan jatuhlah dia ke tempat yang paling bawah, dia kekal selama-lamanya bersama-sama dengan orang-orang yang menjadi pengikutnya dalam neraka.

Malaikat Zabaniah berkata: "Tidak ada kematian bagi kamu semua dan tidak ada pula bagimu kesenangan, kamu kekal di dalam buat selama-lamanya."

Wallahu'alam.





Dalam hadith yang sama menerangkan bahawa pada hari kiamat nanti akan dibuka penutup neraka Jahanam, maka sebaik sahaja pintu neraka Jahanam itu terbuka, akan keluarlah asap datang mengepung di sebelah kanan jin dan manusia. Dan sebuah kumpulan asap lagi mengepung mereka di sebelah kiri, lalu datang pula sebuah kumpulan asap mengepung mereka di sebelah hadapan muka mereka, serta datang kumpulan asap mengepung di atas kepala dan dibelakang mereka. Dan mereka (jin dan manusia) apabila terpandang akan asap tersebut maka bergementarlah dan mereka berlutut dan memanggil-manggil: "Ya Tuhan kami selamatkanlah." 

Dikisahkan dalam sebuah hadith bahawa sesungguhnya neraka jahanam itu adalah hitam gelap, tidak ada cahaya dan tidak pula ianya menyala. Dan ianya memiliki 7 buah pintu dan pada setiap pintu itu terdapat 70,000 gunung, pada setiap gunung itu pula terdapat 70,000 lereng dari api dan pada setiap lereng itu terdapat 70,000 belahan tanah yang terdiri dari api, pada setiap belahannya pula terdapat 70,000 lembah dari api. Di setiap lembah itu terdapat 70,000 gudang dari api, dan pada setiap gudang itu pula terdapat 70,000 kamar dari api, pada setiap kamar itu pula terdapat 70,000 ular dan 70,000 kala, dan dikisahkan dalam hadith tersebut bahawa setiap kala itu mempunyai 70,000 ekor dan setiap ekor pula memiliki 70,000 ruas. Pada setiap ruas kala tersebut ianya mempunyai 70,000 kolah bisa.

Dikisahkan dalam sebuah hadis bahawa sesungguhnya neraka Jahannam itu adalah hitam gelap, tidak ada cahaya dan tidak pula ia menyala. Dan ianya memiliki 7 buah pintu dan pada setiap pintu itu terdapat 70,000 gunung, pada setiap gunung itu terdapat 70,000 lereng dari api dan pada setiap lereng itu terdapat 70,000 belahan tanah yang terdiri dari api, pada setiap belahannya pula terdapat 70,000 lembah dari api.

Diriwayatkan bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda : "Akan didatangkan pada hari kiamat itu neraka Jahannam, dan neraka Jahannam itu mempunyai 70,000 kendali, dan pada setiap kendali itu ditarik oleh 70,000 malaikat, dan berkenaan dengan malaikat penjaga neraka itu besarnya ada diterangkan oleh Allah SWT dalam surah At-Tahrim ayat 6 yang bermaksud : "Sedang penjaganya malaikat-malaikat yang kasar lagi keras." Setiap malaikat apa yang ada di antara pundaknya adalah jarak perjalanan setahun, dan setiap satu dari mereka itu mempunyai kekuatan yang mana kalau dia memukul gunung dengan pemukul yang ada padanya, maka nescaya akan hancur lebur gunung tersebut. Dan dengan sekali pukulan sahaja ia akan membenamkan 70,000 ke dalam neraka Jahannam.

Mujahid berkata: "Sesungguhnya apimu ini berlindung kepada Allah SWT dari neraka jahannam." Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya seringan-ringan siksa ahli neraka iaitu seorang yang berkasutkan dari api neraka, dan dapat mendidihkan otaknya, seolah-olah ditelinganya ada api, dan giginya berapi dan dibibirnya ada wap api, dan keluar ususnya dari bawah kakinya, bahkan ia merasa bahawa dialah yang terberat siksanya dari semua ahli neraka, padahal ia sangat ringan siksanya dari semua ahli neraka."

Wallahu'alam.

Kisah Kesengsaraan di dalam Neraka





Dari Anas bin Malik RA berkata: "Jibrail datang kepada Nabi SAW pada waktu yg ia tidak biasa datang dalam keadaan berubah mukanya, maka ditanya oleh Nabi SAW "Mengapa aku melihat kau berubah muka?"

Jawabnya: "Ya Muhammad, aku datang kepadamu di saat Allah SWT menyuruh supaya dikobarkan penyalaan api neraka, maka tidak layak bagi orang yg mengetahui bahawa neraka Jahannam itu benar, dan siksa kubur itu benar, dan siksa Allah SWT itu terbesar untuk bersuka-suka sebelum ia merasa aman daripadanya."

Lalu Nabi SAW bersabda: "Ya Jibrail, jelaskan padaku sifat Jahannam."

Jawabnya: "Ya. Ketika Allah SWT menjadikan Jahannam, maka dinyalakan selama 1,000 tahun, sehingga merah, kemudian dilanjutkan 1,000 tahun sehingga putih, kemudian 1,000 tahun sehingga hitam, maka ia hitam gelap, tidak pernah padam nyala dan baranya. Demi Allah SWT yg mengutus engkau dengan hak, andaikan terbuka sebesar lubang jarum nescaya akan dapat membakar penduduk dunia semuanya kerana panasnya. Demi Allah SWT yg mengutus engkau dengan hak, andaikan satu baju ahli neraka itu digantung di antara langit dan bumi nescaya akan mati penduduk bumi kerana panas dan basinya. Demi Allah SWT yg mengutus engkau dengan hak, andaikan satu pergelangan dari rantai yg disebut dalam Al-Qur'an itu diletakkan di atas bukit, nescaya akan cair sampai ke bawah bumi yg ke 7. Demi Allah SWT yg mengutus engkau dengan hak, andaikan seorang di hujung barat tersiksa, nescaya akan terbakar orang-orang yang di hujung timur kerana sangat panasnya, Jahannam itu sangat dalam dan perhiasannya besi, dan minumannya air panas campur nanah, dan pakaiannya potongan-potongan api. Api neraka itu ada 7 pintu, tiap-tiap pintu ada bahagiannya yang tertentu dari orang laki-laki dan perempuan."

Nabi SAW bertanya: "Apakah pintu-pintunya bagaikan pintu-pintu rumah kami?"

Jawabnya: "Tidak, tetapi selalu terbuka, setengahnya di bawah dari lainnya, dari pintu ke pintu jarak perjalanan 70,000 tahun, tiap pintu lebih panas dari yang lain 70 kali ganda."

Tanya Rasulullah SAW: "Siapakah penduduk masing-masing pintu?"

Jawab Jibrail: "Pintu yg terbawah untuk orang-orang munafik, dan orang-orang yg kafir setelah diturunkan hidangan mukjizat nabi Isa AS serta keluarga Fir'aun sedang namanya Al-Hawiyah. Pintu kedua tempat orang-orang musyrikin bernama Jahim, pintu ketiga tempat orang shobi'in bernama Saqar. Pintu keempat tempat Iblis dan pengikutnya dari kaum majusi bernama Ladha, pintu kelima orang yahudi bernama Huthomah. Pintu keenam tempat orang nasara bernama Sa’ir."

Kemudian Jibrail diam segan pada Rasulullah SAW sehingga ditanya: "Mengapa tidak kau terangkan penduduk pintu ketujuh?"

Jawabnya: "Di dalamnya orang-orang yg berdosa besar dari ummatmu yg sampai mati belum sempat bertaubat."

Maka Nabi SAW jatuh pengsan ketika mendengar keterangan itu, sehingga Jibrail meletakkan kepala Nabi SAW di pangkuannya sehingga sedar kembali dan sesudah sedar Nabi SAW bersabda: "Ya Jibrail, sungguh besar kerisauanku dan sangat sedihku, apakah ada seorang dari ummat ku yang akan masuk ke dalam neraka?"

Jawabnya: "Ya, iaitu orang yg berdosa besar dari ummatmu."

Kemudian Nabi SAW menangis, Jibrail juga menangis, kemudian Nabi SAW masuk ke dalam rumahnya dan tidak keluar kecuali untuk sembahyang kemudian kembali dan tidak berbicara dengan orang dan bila sembahyang selalu menangis dan minta kepada Allah SWT.

Dari Hadith Qudsi: "Bagaimana kamu masih boleh melakukan maksiat sedangkan kamu tak dapat bertahan dengan panasnya terik matahari Ku. Tahukah kamu bahawa neraka jahanamKu itu, Neraka Jahanam itu mempunyai 7 tingkat. Setiap tingkat mempunyai 70,000 daerah, setiap daerah mempunyai 70,000 kampung, setiap kampung mempunyai 70,000 rumah, setiap rumah mempunyai 70,000 bilik, setiap bilik mempunyai 70,000 kotak, setiap kotak mempunyai 70,000 batang pokok zarqum, di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 ekor ular, di dalam mulut setiap ular yang panjang 70 hasta mengandungi lautan racun yang hitam pekat. Juga di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 rantai, setiap rantai diseret oleh 70,000 malaikat."

Wallahu'alam.

Perjalanan Roh Selepas Kematian





Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Albaraa' bin Aazib RA berkata: "Kami bersama Nabi Muhammad SAW keluar menghantar jenazah seorang sahabat Ansar, maka ketika sampai ke kubur dan belum dimasukkan dalam lahad, Nabi Muhammad SAW duduk dan kami duduk di sekitarnya diam menundukkan kepala bagaikan ada burung di atas kepala kami, sedang Nabi Muhammad SAW mengorek-ngorek dengan dahan yang ada ditangannya, kemudian baginda SAW mengangkat kepala sambil bersabda: "Berlindunglah kamu kepada Allah dari siksaan kubur." Nabi Muhammad SAW mengulangi sebanyak 3 kali." 

Lalu Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesungguhnya seorang mukmin jika akan meninggal dunia dan menghadapi akhirat (akan mati), turun padanya malaikat yang putih-putih wajahnya bagaikan matahari, membawa kafan dari syurga, maka duduk di depannya sejauh pandangan mata mengelilinginya, kemudian datang malaikulmaut dan duduk didekat kepalanya dan memanggil: "Wahai roh yang tenang baik, keluarlah menuju pengampunan Allah SWT dan ridhaNya."

Nabi Muhammad SAW bersabda lagi: "Maka keluarlah rohnya mengalir bagaikan titisan dari mulut kendi tempat air, maka langsung diterima dan langsung dimasukkan dalam kafan dan dibawa keluar semerbak harum bagaikan kasturi yang terharum di atas bumi, lalu dibawa naik, maka tidak melalui rombongan malaikat melainkan ditanya: "Roh siapakah yang harum ini?" Dijawab: "Roh fulan bin fulan sehingga sampai kelangit, dan disana dibukakan pintu langit dan disambut oleh penduduknya dan pada tiap-tiap langit dihantar oleh malaikat Muqarrbun, dibawa naik kelangit yang atas hingga sampai kelangit ketujuh, maka Allah SWT berfirman: "Catatlah suratnya di Illiyyin. Kemudian dikembalikan ia kebumi, sebab daripadanya Kami jadikan, dan didalamnya Aku kembalikan dan daripadanya pula akan Aku keluarkan pada saatnya."

Maka kembalilah roh ke jasad dalam kubur, kemudian datang kepadanya dua malaikat untuk bertanya: "Siapa Tuhanmu?" Maka dijawab: Allah Tuhanku. Lalu ditanya: "Apakah agamamu?" Maka dijawab: "Agamaku Islam" Ditanya lagi: "Bagaimana pendapatmu terhadap orang yang diutuskan ditengah-tengah kamu?" Dijawab: "Dia utusan Allah". Lalu ditanya: "Bagaimanakah kamu mengetahui itu?" Maka dijawab: "Saya membaca kitab Allah lalu percaya dan membenarkannya"

Maka terdengar suara: "Benar hambaKu, maka berikan padanya hamparan dari syurga serta pakaian syurga dan bukakan untuknya pintu yang menuju ke syurga, supaya ia mendapat bau syurga dan hawa syurga, lalu luaskan kuburnya sepanjang pandangan mata." Kemudian datang kepadanya seorang yang bagus wajahnya dan harum baunya sambil berkata: "Terimalah khabar gembira, ini saat yang telah dijanjikan Allah SWT kepadamu." Lalu bertanya: "Siapakah kau?" Jawabnya: "Saya amalmu yang baik." Lalu ia berkata: Ya Tuhan, segerakan hari kiamat supaya segera saya bertemu dengan keluargaku dan kawan-kawanku."

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Adapun hamba yang kafir, jika akan meninggal dunia dan menghadapi akhirat, maka turun kepadanya malaikat dari langit yang hitam mukanya dengan pakaian hitam, lalu duduk di mukanya sepanjang pandangan mata, kemudian datang Malaikulmaut dan duduk disamping kepalanya lalu berkata: "Hai roh yang jahat, keluarlah menuju murka Allah."

Maka tersebar disemua anggota badannya, maka dicabut rohnya bagaikan mencabut besi dari bulu yang basah, maka terputus semua urat dan ototnya, lalu diterima akan dimasukkan dalam kain hitam, dan dibawa dengan bau yang sangat busuk bagaikan bangkai, dan dibawa naik, maka tidak melalui malaikat melainkan ditanya: "Roh siapakah yang jahat dan busuk itu?" Dijawab: "Roh fulan bin fulan." dengan sebutan yang amat jelek sehingga sampai di langit dunia, maka minta dibuka, tetapi tidak dibuka untuknya.

Kemudian Nabi Muhammad SAW membaca ayat yang bermaksud:." Tidak dibukakan bagi mereka itu pintu-pintu langit dan tidak dapat masuk syurga sehingga unta dapat masuk dalam lubang jarum."

Kemudian diperintahkan: "Tulislah orang itu dalam Sijjin." Kemudian dilemparkan rohnya itu bagitu sahaja sebagaimana ayat yang bermaksud: "Dan siapa mempersekutukan Allah, maka bagaikan jatuh dari langit lalu disambar helang atau dilemparkan oleh angin kedalam jurang yang curam."

Kemudian dikembalikan roh itu ke dalam jasad di dalam kubur, lalu didatangi oleh dua malaikat yang mendudukkannya lalu bertanya: ""Siapa Tuhanmu?" Maka dijawab: "Saya tidak tahu". Lalu ditanya: "Apakah agamamu?" Maka dijawab: "Saya tidak tahu". Ditanya lagi: "Bagaimana pendapatmu terhadap orang yang diutuskan ditengah-tengah kamu?" Dijawab: "Saya tidak tahu". Lalu ditanya: "Bagaimanakah kamu mengetahui itu?" Maka dijawab: "Saya tidak tahu"

Maka terdengar suara seruan dari langit: "Dusta hambaKu, hamparkan untuknya dari neraka dan bukakan baginya pintu neraka, maka terasa olehnya panas hawa neraka, dan disempitkan kuburnya sehingga terhimpit dan rosak tulang-tulang rusuknya. Kemudian datang kepadanya seorang yang buruk wajahnya dan busuk baunya sambil berkata: "Sambutlah hari yang sangat jelek bagimu, inilah saat yang telah diperingatkan oleh Allah kepadamu." Lalu ia bertanya: "Siapakah kau?" Jawabnya: "Aku amalmu yang jelek." Lalu ia berkata: "Ya tuhan, jangan percepatkan kiamat, ya Tuhan jangan percepatkan kiamat."

Abul-Laits dengan sanadnya meriwayatkan dari Abu Hurairah RA berkata: "Nabi Muhammad SAW bersabda: "Seorang mukmin jika sakaratulmaut didatangi oleh malaikat dengan membawa sutera yang berisi misik (kasturi) dan tangkai-tangkai bunga, lalu dicabut rohnya bagaikan mengambil rambut didalam adunan sambil dipanggil: "Hai roh yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan perasaan rela dan diridhoi. Kembalilah dengan rahmat dan keridhoan Allah." Maka jika telah keluar rohnya langsung ditaruh diatas misik dan bunga-bunga itu lalu dilipat dengan sutera dan dibawa ke Illiyyin.

Adapun orang kafir jika sakaratulmaut didatangi oleh malaikat yang membawa kain bulu yang di dalamnya ada api, maka dicabut rohnya dengan kekerasan sambil dikatakan kepadanya: "Hai roh yang jahat keluarlah menuju murka Tuhammu ke tempat yang rendah hina dan siksaNya, maka bila telah keluar rohnya itu, diletakkan di atas api dan bersuara seperti sesuatu yang mendidih kemudian dilipat dan dibawa ke Sijjin."

Alfaqih Abu Ja'far meriwayatkan dengan sanadnya dari Abdullah bin Umar RA berkata: "Seorang mukmin jika diletakkan dikubur maka diperluaskan kuburnya itu hingga 70 hasta dan ditaburkan padanya bunga-bunga dan dihamparkan sutera, dan bila ia hafal sedikit dari al-quran sukup untuk penerangannya jika tidak maka Allah SWT memberikan kepadanya nur cahaya penerangan yang menyerupai penerangan matahari, dan didalam kubur bagaikan pengantin baru, jika tidur maka tidak ada yang berani membangunkan kecuali kekasihnya sendiri, maka ia bangun dari tidur itu bagaikan masih kurang masa tidurnya dan belum puas.

Adapun orang kafir maka akan dipersempit kuburnya sehingga menghancurkan tulang rusuknya dan masuk ke dalam perutnya lalu dikirimkan kepadanya ular segemuk leher unta, maka makan dagingnya sehingga habis dan sisa tulang semata-mata, lalu dikirim kepadanya malaikat yang akan menyiksa iaitu yang buta tuli dan bisu dengan membawa puntung dari besi yang langsung dipukulkannya, sedang malaikat itu tidak mendengar suara jeritannya dan tidak melihat keadaannya supaya tidak dikasihaninya, selain itu lalu dihidangkan siksa neraka itu tiap pagi dan petang."

Wallahu'alam.

.

Islamic Widget

Islamic ChatBox

Islamic Widget

Islamic Widget

Followers

Powered by Blogger.